Assalammu'alaikum,,, Dalam tak diam hanya tinggal beberapa hari sahaja umat Islam akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak. Bulan Ramadhan adalah bulan yang terlalu banyak kelebihannya. Di dalamnya terdapatnya malam lailatul Qadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik dari 1000 bulan. Pada bulan tersebut Allah membuka pintu syurga, menutup pintu neraka dan mengikat syaitan-syaitan untuk memberi peluang kepada manusia membersihkan diri mereka sebersih-bersihnya.
Sabda Nabi (s.a.w) : Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya :
a) Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah.
b) Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya.
c) Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar.
d) Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnya kerana Aku.
e) Dan mereka dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokkan ketika berbuka dan ketika menemui tuhan di akhirat.(Al-Hadith)
Selain itu juga amalan berpuasa ini amat baik untuk kesihatan sekiranya diamalkan dengan cara yang betul. Kebiasaannya ketika berpuasa, kita akan menjaga perbuatan dari perkara yang membatalkan puasa selain menahan lapar dan dahaga. Namun kita sering mengabaikan cara pengambilan makanan ketika waktu bersahur dan juga berbuka. Berikut adalah beberapa panduan pemakanan yang boleh diamalkan sepanjang menjalankan ibadah puasa.
Cara berbuka dan bersahur yang berkesan:
(i) Berbuka dengan buah (kurma) dan air kosong.
(ii) Solat Maghrib terlebih dahulu bagi memberi peluang perut mencerna makanan
(iii) Makan makanan yang senang hadam dan kurangkan masakan berminyak, berempah dan pedas. Seelok-eloknya makan sayur, tauhu dan kekacang.
(iv) Kurangkan kadar makanan dari biasa.
(v) JANGAN minum air sambil makan. Insya-Allah jika makan secara perlahan-lahan, masalah tercekik tidak akan berlaku.
(vi) Minum air putih atau teh herba atau minuman yang mengandungi getah anggur, buah kembang semangkuk dan biji selasih sebanyak yang terminum.
Waktu sahur elok makan buah dan susu atau sebarang makanan cecair.
Cara berpuasa yang tidak berkesan:
(i) Makan terlalu banyak (waktu sahur dan berbuka).
(ii) Makan makanan yang pedas dan berempah serta payah hadam.
(iii) Makan terlalu banyak daging binatang terutama bagi pengidap batu karang, gout dan alahan.
(iv) Mengulangi makan sepanjang malam.
(v) Kurang minum air pada malam hari atau lebih minum air semasa makan.
(vi) Tidur selepas kenyang makan.
Makanan yang menjejaskan khasiat puasa kerana mengandungi bahan kimia:
(i) Kopi dan teh.
(ii) Air paip masak yang tidak ditapis.
(iii) Makanan yang ada bahan pengawet, pewarna, perasa tiruan seperti burger, sosej, mee segera, air tin & kotak, air squash, nugget dan seumpamanya.
(iv) Makanan masin perlu dielakkan semasa berpuasa kerana ia menyebabkan air bertakung dalam badan (water retention)
(v) Merokok
Fasa-fasa puasa yang berjaya:
Fasa pertama (2-3hari):
Perut akan terasa lapar, badan cepat letih, cepat marah kerana kadar glukosa dalam darah rendah
Fasa kedua (3-14 hari):
Kurang selera makan, senang gelap mata, nafas berbau, lidah menjadi putih atau berdaki manakala badan menjadi lesu.
Fasa ketiga(14-akhir puasa):
Lidah menjadi bersih, nafas hilang bau, selera makan baik, tenaga mula pulih dan kadar glukosa menjadi normal kembali. Di fasa ini juga mental, emosi dan badan semakin optimum dan diri menjadi orang baru. Keadaan puasa begini hanya dicapai oleh mereka yang benar-benar mengawal makan dan minum supaya proses asidosis dan ketosis di dalam badan berjalan lancar.
Amalan hari raya yang merosakkan manfaat puasa:
(i) Makan banyak (terutamanya daging, berempah, berlemak dan berminyak)
(ii) Makan kerap
(iii) Kuih-muih yang payah dihadam
(iv) Air yang mengandungi pewarna, perasa tiruan
Manfaat puasa yang berkekalan:
(i) Kurang makan kerana perut dah kecut
(ii) Kesihatan bertambah baik
Semoga amalan puasa kita pada tahun ini mendapat keberkatan serta marilah kita menanam azam untuk merebut segala kelebihan Ramadhan yang dijanjikan Allah. Jika Ramadhan tahun lalu kita lalai dan leka sehingga tanpa disedari Ramadhan telahpun berlalu dan kita ketinggalan merebut kelebihannya, maka pada tahun ini kita diberi peluang sekali lagi oleh Allah. Maka janganlah sia-siakan peluang kali ini kerana entah-entah inilah Ramadhan terakhir buat kita.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:"Ada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tiada memperolehi dari puasanya itu, selain dari lapar dan dahaga (yakni tiada mendapat pahala)."