Salam buat semua pengunjung dan pembaca yang setia,,
Post entry kali ni adalah kesinambungan dari post-post yang terdahulu mengenai khasiat buah-buahan... Mungkin kita sekadar merasakan keenakan setiap kali menikmati buahan ini tetapi tidak mengetahui khasiat yang tersirat disebalik keenakan itu..
KHASIAT BUAH PISANG
Pisang atau nama saintifiknya Musa sapientum adalah antara buah-buahan tempatan yang digemari ramai. Ia kaya dengan vitamin A dan C, niasin dan juga zat galian seperti kalsium fosforus dan besi. Pisang juga mengandungi kromium, sejenis bahan yang merangsangkan aktiviti enzim dalam metabolisme glukos yang penting untuk membekalkan tenaga. Menurut kajian tempatan yang dilakukan, 100 gram pisang menyediakan 1.2 gm protein, 0.3 gm lemak, 17 mg kalsium, 78 mg karotena, 88 mg kalium, 27.2 gm karbohidrat, 0.4 gm serabut, dan 116 kcal tenaga.
Pisang juga mengandungi asid, enzim, dan sebatian kimia penting. Ia juga mengandungi tiga jenis gula semulajadi iaitu sukrosa, fruktosa, dan glukosa. Gula semulajadi ini amat penting untuk kanak-kanak yang sedang membesar. Selain itu, menurut Persatuan Pisang Antarabangsa, pisang juga mengandungi magnesium, fosforus, iodine, kuprum, vitamin B1, B2, B6 & C, niasin, dan folat.Penyelidikan yang dijalankan membuktikan dua biji pisang boleh membekalkan tenaga untuk kita melakukan kerja atau senaman berat selama 90 minit.
Selain itu dalam perubatan traditional, jantung pisang dianggap elok untuk pelbagai organ dalam badan seperti jantung, hati, paru-paru dan limfa. Manakala getah pisang merupakan ubat yang mujarab untuk menyembuhkan luka. Dengan menyapukan getah pisang pada luka, darah akan berhenti mengalir dan lukanya akan cepat kering. Kudis pula boleh dirawat dengan mudah menggunakan kulit pisang. Selain itu pisang juga digunakan untuk mengatasi masalah sembelit, ulser dan penyakit gastritis atau radang perut.
Pisang juga boleh membantu dalam keadaan kesihatan tertentu:
a. Darah tinggi dan strok - pisang membantu menurunkan tekanan darah tinggi kerana kandungan potasiumnya yang tinggi.
b. Kolestrol - pisang rendah dari segi kalori lemak, sodium yang membantu merendah kolestrol.
c. Cirit-birit - potasium dan magnesium yang terkandung di dalam pisang amat sesuai merawat orang yang mengalami cirit-birit.
d. Anaemia - anaemia ialah penyakit kurang darah. Pisang kaya dengan zat besi, ia boleh merangsang penghasilan haemoglobin di dalam darah.
e. Kemurungan - orang yang sedang murung lebih cepat ceria apabila makan pisang. Ini kerana kandungan sejenis protein membantu kita menjadi tenang.
f. Pening-pening - cara paling cepat merawat rasa pening-pening ialah dengan meminum minuman susu pisang kocak (banana milkshake) yang dicampur madu. Minuman ini bukan sahaja merawat malah sedap pula.
Bagaimanapun, pisang tidak sesuai bagi pesakit kencing manis. Ini kerana kandungan gula di dalam pisang adalah tinggi. Terdapat 25 gram gula setiap 126 gram pisang (19.85%)
KHASIAT BUAH MANGGA
Mangga merupakan satu genus tumbuhan yang terdiri daripada 35 spesies pokok buah tropika dalam famili Anacardiaceae. Tiada orang yang tahu dengan tepat tentang tempat asalnya, tetapi kebanyakan orang mempercayai bahawa pokok ini berasal dari benua Asia Selatan dan Asia Tenggara, termasuk India Timur, Myanmar, dan Bangladesh, selepas rekod-rekod fosil yang wujud sejak 25 hingga 30 juta tahun dahulu telah ditemui di sana.
Mangga yang juga dikenali sebagai Mangifera indica yang berasal dari keluarga Anacardiaceae, digunakan sebagai agen penghilang dahaga untuk mengatasi masalah penyahidratan dalam tubuh serta berkesan untuk menyembuhkan penyakit hernia. Hernia atau burut iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan isi perut turun ke bawah dan kantung kemaluan menjadi bengkak, ulu hati terasa pedih dan sakit setiap kali selepas makan, boleh dirawat dengan mengamalkan pengambilan jus mangga. Minuman itu, yang kaya dengan pelbagai zat galian termasuk vitamin A dan C akan bertindak melancarkan peredaran darah.
Isi buah mangga yang masak mengandungi lebih kurang 15% gula, sehingga 1% protein, dan agak banyak vitamin A, B dan C. Rasa buah ini amat manis, dengan sesetengah kultivar mempunyai rasa yang sedikit masam. Tekstur isi buah mangga amat berbeza-beza antara kultivar-kultivar yang berlainan; sesetengah buah mempunyai tekstur yang lembut dan benyek seolah-olah buah plum yang terlalu masak, sedangkan yang lain mempunyai isi yang lebih pejal serupa dengan tembikai wangi atau buah avokado. Isi buah sebilangan kultivar juga boleh mengandungi serabut. Buah mangga mengandungi banyak jus, dan rasa manis serta kandungan air yang tinggi menyebabkan buah ini amat menyegarkan ketika dimakan, walaupun agak leceh dan kotor.
Mangga tergolong dalam famili yang sama dengan pokok ivy beracun dan mengandungi urusyiol, walaupun tidak serupa banyak dengan ivy beracun. Sesetengah orang menghidap penyakit dermatitis ketika menyentuh sap atau kulit buah yang dikupas. Orang-orang yang mengalami tindak balas alergi selepas menyentuh buah mangga biasanya dapat menikmati buah ini jika orang lain mengupas kulit buah ini lebih dahulu. Daun-daun Buah Mangga adalah toksik terhadap lembu.
Buah mangga dikatakan boleh melegakan usus-usus dan oleh itu, menyebabkan buah ini mudah dicernakan. Buah ini dipercayai dapat membantu menghentikan perdarahan, mengukuhkan jantung, dan memanfaatkan otak.
Memandangkan jus mangga mempunyai kandungan gula yang tinggi, ia kurang sesuai untuk mereka yang mengalami penyakit diabetis, hipoglisemia dan kandidiasis atau jangkitan kulat.