Mai Lepak Sini Jadi Pengikut Setia

MENARIK DALAM BLOG NI

Ahad, Januari 16, 2011

Khasiat Daun Kari





   

       Pokok Kari atau nama saintifiknya Murraya Koenigii tergolong dalam keluarga Rutaceae ialah sejenis pokok renek dengan ketinggian antara 0.9 hingga 6 meter. Ia sering ditanam di kawasan sekitar rumah untuk kegunaan sebagai rempah dalam masakan terutamanya dalam masakan kari. Daun kari mempunyai bau yang kuat dan mempunyai rasa agak pahit. Daun ini mempunyai banyak kegunaan bagi masyarakat India kerana ia bukan sahaja digunakan dalam masakan kari, malah dalam masakan lain seperti rasam, chutney , muruku dan sebagainya lagi. Berasal dari negara India, tumbuhan ini akan hidup subur dalam zon tropika dan tumbuhan ini agak lasak walaupun sebenarnya ia menyukai tanah yang subur dan kaya dengan mineral. 
             Bunganya kecil berwarna putih kekuningan dan mempunyai aroma yang sangat harum. Buahnya kecil, sebesar terung pipit, berwarna hijau ketika muda dan bertukar ke ungu berkilau setelah matang. Buahnya boleh dimakan, tetapi biji benihnya dikatakan beracun.  Selain itu juga pokok kari ditanam di halaman rumah sebagai tumbuhan hiasan.
 Hasil kajian mendapati daun kari mengandungi:
  • 66.3% kelembapan
  • 6.1% protein
  • 1.0% lemak
  • 16.0% karbohidrat
  • 6.4% fiber
       Daun kari juga mengandungi mineral dan vitamin seperti kalsium, fosforus, zat besi, asid nikotinik dan vitamin C. Ia juga mengandungi volatile oil dan sejenis glukosid yang dipanggil koenigiin.

       Daun kari mempunyai khasiat perubatan yang tinggi dan digunakan dengan meluas dalam perubatan Ayurveda di India. Daun kari mempunyai nilai sebagai antioksidan, anti-diabetes, antimikrob, anti-inflamasi, Hepatoprotektor, anti-hiperkolesterolemia dan lain-lain lagi. Daun kari juga dikatakan baik untuk penjagaan rambut yang panjang dan sihat. Selain dari itu daun kari juga dapat mencegah uban. Kulit pokok, daun dan akar pokok daun kari digunakan sebagai tonik. Pucuk daun muda juga boleh dibuat ulam.

       Daun kari boleh dijadikan tonik herba untuk menguatkan perut dan meningkatkan keupayaanmya serta mengatasi masalah penghadaman. Ia juga boleh digunakan sebagai laksatif (julap) lemah untuk mengatasi masalah sembelit. Jus daun kari yang dicampur dengan madu juga dapat menjadi penawar kepada cirit birit dan buasir.

       Jus daunnya yang segar dicampur dengan jus limau nipis digunakan untuk mengatasi masalah loya dan pening terutamanya akibat makan lemak yang berlebihan. Caranya dengan mencampurkan satu sudu teh jus daun kari dan satu sudu teh jus limau nipis. Daun kari juga berkesan dalam mengatasi masalah haid dan  penyakit kelamin iaitu penyakit gonorea (gonorrhea), menghilangkan rasa loya dan pening-pening lalat bagi wanita mengandung.

       Air rebusan kulit batangnya yang kering dapat digunakan untuk mengubat diabetes. Amalan memakan 10 helai daunnya setiap hari selama 3 bulan dikatakan dapat mencegah kencing manis yang disebabkan oleh keturunan dan kegemukan. 
       Buahnya yang didihkan dengan minyak kelapa hingga kehitaman boleh dihancurkan dan digunakan untuk merawat gigitan serangga dan haiwan berbisa. Daunnya yang dihancurkan dan dijadikan pes boleh digunakan untuk merawat lebam dan bengkak dengan cara menampalnya pada bahagian yang sakit.

       Daun kari juga berkesan menyembuhkan penyakit cirit-birit dan penyakit berak darah yang juga disebut disentri. Daun kari dan akarnya juga dikatakan baik untuk peredaran darah dan boleh bertindak sebagai sedatif. Walaupun terdapat pelbagai kegunaan tumbuhan ini, namun penggunaannnya perlu mendapat nasihat daripada pengamal perubatan untuk mengelakkan kemudaratan di kemudian hari kelak.

2 ulasan: