Mai Lepak Sini Jadi Pengikut Setia

MENARIK DALAM BLOG NI

Isnin, Februari 14, 2011

SAAT KELAHIRAN RASULULLAH





   
    Ketika Siti Aminah Binti Wahab mengandung Rasulullah, dia melihat berbagai keajaiban. Ia merasakan sesuatu yang luar biasa yang tidak pernah dirasakan oleh wanita-wanita hamil yang lain. Sehingga mempunyai firasat atau dugaan yang baik terhadap bayi yang dikandungkan itu. Pada suatu malam ia bermimpi, seolah-olah ada cahaya dari perutnya yang memancarkan sinar yang terang menyinari seluruh alam. Sehingga dalam mimpi tersebut Siti Aminah dapat melihat bangunan yang tinggi yang terletak di Kota Syam. Kemudian pada waktu pagi ia menceritakan tentang mimpinya itu kepada suaminya, ia berkata “Wahai suamiku, sesungguhnya malam tadi aku bermimpi seolah-olah ada cahaya dari perutku yang menerangi alam, sehingga aku dapat melihat bangunan-bangunan tinggi di Kota Syam. Setelah itu mendengar suara yang mengatakan bahawa aku sedang mengandung pemimpin umat pada akhir zaman.”

    Semasa baginda dilahirkan, bondanya menyaksikan nur atau cahaya keluar dari tubuh badan baginda. Cahaya tersebut menyinari sehingga ke Istana Busra di Syria. Ia dilihat seolah-olah seperti anak panah bagaikan pelangi sehingga dari jauh kota-kota tersebut dapat dilihat. Ada juga yang berpendapat bahawa cahaya itu datang dan menerangi seluruh dunia. Ini dapat dijelaskan oleh sumber-sumber Arab yang paling awal yang menyatakan bahawa suatu cahaya terpancar dari rahim Aminah apabila baginda dilahirkan. Aminah sendiri melihat baginda dalam keadaan terbaring dengan dua tangannya mengangkat ke langit seperti seorang yang sedang berdoa. Kemudian bondanya melihat awan turun menyelimuti dirinya sehingga beliau mendengar sebuah seruan ``Pimpinlah dia mengelilingi bumi Timur dan Barat, supaya mereka tahu dan dialah yang akan menghapuskan segala perkara syirik''. Selepas itu awan tersebut lenyap daripada pandangan Aminah. Setengah riwayat menyatakan nabi dilahirkan dalam keadaan memandang ke arah langit sambil meletakkan tangannya ke tanah sebagai tanda ketinggian martabatnya daripada semua makhluk.
               
    Pada hari kelahiran baginda tersebut telah timbul beberapa mukjizat. Tiap-tiap wanita yang akan melahirkan tentu akan merasa sakit, namun bonda Rasulullah SAW tidak merasakan rasa sakit tersebut.  Rasulullah SAW lahir dalam keadaan sudah dikhatankan. Syaitan-syaitan dilarang naik ke langit, ketika Rasulullah SAW dilahirkan. Padahal sebelumnya, syaitan-syitan itu dapat naik dan turun ke langit, untuk mendengar percakapan serta perbualan yang dilakukan oleh para malaikat. Ketika mereka dilarang naik ke langit itu, maka mereka berkumpul dan menemui iblis, mereka berkata: “Dulu kami boleh naik ke langit, tetapi hari ini kami telah dilarang untuk naik.” Iblis menjawab: “Bersabarlah kamu semua di permukaan bumi, dari barat sampai ke timur dan perhatikan dengan baik-baik apa sebenarnya yang telah terjadi.”

    Mereka berusaha mencari. Akhirnya setelah mengelilingi timur dan barat, sampailah mereka ke Kota Mekah. Di sana mereka melihat Nabi Muhammad SAW sedang dikelilingi oleh para malaikat, dan memancar cahaya dari dirinya hingga naik ke langit, sedangkan malaikat-malaikat itu saling memberi ucapan selamat dan sejahtera antara satu dengan lain. Kemudian, pulanglah syaitan-syaitan itu menghadap kepada Iblis, sambil menceritakan semua apa yang telah mereka lihat. Maka Iblis pun berkata: “Telah lahir ‘ayatul alam’ dan rahmat bagi Bani Adam, kerana itulah kamu semua telah dicegah untuk naik ke langit, tempat pandangannya dan pandangan umatnya.” 

         Isteri Abdul Ash berkata “Ketika aku datang ke rumah Aminah pada malam kelahiran Nabi Muhammad SAW, aku melihat rumah Abdullah ada cahaya yang menerangi seluruh rumah. Aku melihat seolah-olah ada bintang yang turun, sehingga aku khuatir ia akan jatuh.”  Keadaan di rumah Abdullah menjadi riang dan gembira, sehingga ramai kaum keluarganya datang untuk mengucapkan selamat atas kelahiran bayi yang ditunggu-tunggu itu. Abu Lahab pun ketika itu turut merasa kegembiraan. Kegembiraanya itu dibuktikan dengan dimerdekakan hamba sahayanya. Ia merasa sempurna dan tidak ada aib dan gangguan-gangguan yang buruk.

    Kabul Akhbar ra. berkata: Saya telah melihat di dalam Taurat bahawa Allah SWT mengkhabarkan kaum Musa as. tentang saat kelahiran Nabi Muhammad SAW, ia berkata “Sesungguhnya bintang keadaanya tetap yang kamu ketahui itu bila ia bergerak dari tempatnya menandakan bahawa Rasulullah telah lahir”. Ketika Rasulullah SAW lahir, bintang itupun bergerak dan pindah dari tempat asalnya. Maka orang-orang Yahudi itu semuanya mengetahui bahawa Rasulullah yang diberitakan Allah itu telah lahir ke dunia, namun mereka rahsiakan, disebabkan rasa dengki di hati mereka. 

    Dan Allah juga telah memberitahukan kepada kaum Isa a.s. di dalam kitab Injil, bahawasanya apabila pokok tamar yang kering menjadi subur, berdaun dan berbuah. Melihat peristiwa itu, orang-orang Nasrani pun mengetahui bahawa Rasul yang dijanjikan dalam Kitab Injil itu telah lahir ke dunia. Tetapi peristiwa tersebut dirahsiakan, disebabkan kedengkian mereka juga. Di dalam Kitab Zabur pun Allah SWT membeitahu, bahawa apabila mata air yang telah mereka kenal itu mengeluarkan air, maka tandanya Rasul yang dijanjikan kepada mereka muncul di permukaan bumi. Maka tepat pada masa Rasulullah dilahirkan, maka mata air itupun mengeluarkan air yang melimpah ruah. Mereka pun mengetahui akan kejadian itu, namun kerana kedengkian mereka, berita itupun mereka rahsiakan. 

    Halimah, ibu susuan Nabi Muhammad sebelum ia menyusukan Rasulullah, salah satu susunya tidak mengeluarkan air susu. Namun ketika ia letakkan susunya itu ke mulut Rasulullah, saat itu juga keluar air susu Halimah. Ketika Rasulullah SAW telah dilahirkan, terdengarlah suara dari sudut-sudut Kaabah. Dari sudut pertama: “Telah datang kebenaran Islam, dan kebatilan tidak akan datang lagi.” Dari sudut kedua: “Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu. Sangat menginginkan keimanan dan keselamatan bagimu. Amat belas kasihan dan penyayang terhadap orang-orang mukmin.” Dari sudut ketiga: “Telah datang kepadamu cahaya (Nabi) dari Allah dan kitab (Al-Quran) yang menerangkan.” Dari sudut keempat: “Hai Nabi, sesungguhnya kami mengutuskan untuk menjadikan saksi, dan pembawa khabar berita gembira dan pemberi peringatan, dan untuk menjadi penyeru kepada agama Allah dengan izin-Nya dan untuk menjadi cahaya yang terang.” 

    Diriwayatkan bahawa Abdul Muthalib berkata: “Ketika aku sedang berada di Kaabah yang dipenuhi berhala itu, tiba-tiba berhala itu jatuh dari tempat-tempatnya dan sujud kepada Allah. Dan aku terdengar suara dari dinding Kaabah mengatakan “Telah lahir Nabi pilihan yang akan membinasakan orang-orang kafir dan akan mensucikan aku dari berhala-berhala ini, dan aku memerintahkan kepada penyembahan Yang Maha Mengetahui.” Pada malam kelahiran Nabi Muhammad itu, banyak perkara-perkara ajaib yang telah berlaku. Pada malam itu juga berhala-berhala yang berdiri tegak di depan Kaabah telah jatuh di atas tanah. Ini sebagai bukti bahawa patung-patung itu akan dibersihkan oleh bayi yang baru lahir pada suatu saat nanti.

    Pada malam kelahiran baginda, cahaya dari rumah bapanya Abdullah menyinari bangunan-bangunan yang tinggi di negeri Syam. Peristiwa ini sebagai isyarat bahawa ajaran yang dibawa oleh baginda akan sampai ke negeri Syam, dan penduduk-penduduk di kota itu akan disinari dengan ajaran yang murni dan diredhai Allah SWT. Pada malam itu juga tembok mahligai raja Persia menjadi retak. Kemudian 14 jendelanya jatuh berguguran. Padahal tembok itu dibangun dengan teguh dan kukuh. Walaupun demikian rumah-rumah rakyat jelata yang dibangunkan dengan bahan yang sederhana pada malam itu tidak mengalami apa-apa keretakan. Ini juga sebagai bukti bahawa pada suatu hari nanti kerajaan Persia akan runtuh. Api Persia yang dinyalakan telah bertahun-tahun tidak pernah padam walaupun sekejap. Api itu tetap dijaga agar terus menyala. Namun pada malam itu, api tersebut menjadi padam. Ini sebagai isyarat padamnya api tersebut ketika lahirnya seorang insan yang mulia.
Comments
0 Comments

0 ulasan:

Catat Ulasan