Mai Lepak Sini Jadi Pengikut Setia

MENARIK DALAM BLOG NI

Khamis, Mac 31, 2011

SESUATU YANG TERJADI ADA HIKMAHNYA






   

KITA BERTANYA: KENAPA AKU DIUJI?
QURAN MENJAWAB: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," ("I am full of faith to Allah") sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”- Surah al-Ankabut ayat 2-3

KITA BERTANYA: KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?
QURAN MENJAWAB:“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”- Surah al-Baqarah ayat 216
 
KITA BERTANYA: KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
QURAN MENJAWAB: “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”- Surah al-Baqarah ayat 286

KITA BERTANYA: KENAPA RASA SEDIH DAN KECEWA (FRUST)?
QURAN MENJAWAB:“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.” - Surah ali-Imran ayat 139

KITA BERTANYA: APAKAH YANG HARUS AKU LAKUKAN?
QURAN MENJAWAB: “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah (be fearfull of Allah The Almighty) kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”- Surah ali-Imran ayat 200
 
KITA BERTANYA: BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
QURAN MENJAWAB:“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”- Surah Al-Baqarah ayat 45

KITA BERTANYA: APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
QURAN MENJAWAB: “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.....”- Surah at-Taubah ayat 111

KITA BERTANYA: KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

QURAN MENJAWAB: “Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.”- Surah at-Taubah ayat 129

KITA BERKATA: BAGAIMANA JIKA AKU TIDAK MAMPU BERTAHAN LAGI??!!
QURAN MENJAWAB: “.....dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.”- Surah Yusuf ayat 12

Isnin, Mac 28, 2011

HAKIKAT DEMAM






   
Sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Omar Radhiallahu anhuma mengatakan yang maksudnya : “Demam berasal dari kepanasan api neraka yang mendidih, maka padamkanlah ia dengan air”. (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu anha dari Nabi Sallallahu alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya : “Demam adalah dari panas api neraka yang mendidih, dari itu dinginkanlah ia dengan air”. (Hadith riwayat Muslim)

Dalam kitab Umdah Al-Qari menyebutkan bahawa panas yang lahir dari tubuh orang yang demam itu adalah secebis daripada kepanasan api neraka. Allah telah menzahirkannya pada diri orang yang demam itu dengan sebab-sebab yang tertentu agar dia mengambil iktibar daripadanya, sebagaimana Allah telah menzahirkan berbagai jenis kegembiraan dan kenikmatan yang berasal dari nikmat-nikmat syurga untuk menjadi pengajaran dan petunjuk baginya.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan dengan kepanasan api neraka di sini ialah satu perumpamaan antara panas orang yang demam dengan panas api neraka sebagai peringatan kepada diri manusia betapa panasnya api neraka. Namun pendapat ini disanggah oleh Ath-Thayyibi dengan mengatakan bahawa ia tidak sesuai untuk dijadikan sebagai perumpamaan, bahkan demam itu memang lahir atau berasal dari kepanasan api neraka sedari mula atau sebahagian dari hembusan api neraka.

Adapun maksud “mendinginkannya dengan air” itu menurut Ibnu Al-Ambari ialah bersedekah dengan air, kerana ada riwayat mengatakan bahawa sedekah yang paling afdhal itu ialah memberi minum air.

Mengeluh Dan Mengadu Kerana Demam.Memang tidak dinafikan bahawa ada setengah orang mengeluh kerana demam atau mengerang kerana kesakitan. Apakah perbuatan ini diharuskan dalam agama?

Sebenarnya kita tidak dilarang untuk mengadu atau mengeluhkan kesakitan kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Apa yang dilarang ialah kita mengeluh dan mengadukannya kepada orang lain sesama manusia. Nabi Shallallahu alaihi wasallam sendiri, para sahabat dan pengikut-pengikut mereka, pernah mengadukan kesakitan mereka.

Diriwayatkan bahawa Al-Hasan Al-Bashri sewaktu sahabat-sahabatnya datang ke rumahnya, mereka menemuinya sedang mengadukan sakit giginya kepada Allah Subhanahu Wa Taala dengan berkata yang ertinya : Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada (yang lain) yang mengasihani.

Adapun yang dimaksudkan dengan larangan mengadukan kesakitan kepada sesama manusia itu ialah mengadukannya dengan cara merasa jemu dan benci dengan penyakit itu. Akan tetapi jika seseorang itu memberitahu atau menceritakan penyakitnya kepada kawan-kawannya supaya mereka dapat mendoakannya sembuh, maka dalam hal ini tidaklah menjadi satu kesalahan. Begitu juga jika seseorang itu mengeluh kerana sakit, tetapi keluhannya itu boleh mendatangkan kerehatan kepadanya atau boleh meredakan kesakitannya, maka tidaklah juga menjadi apa-apa.

Al-Quran ada menceritakan tentang kesabaran Nabi Ayyub Alaihissalam dalam menempuhi segala penderitaan. Di antara penderitaan yang Nabi Ayyub alami ialah berpenyakit gatal. Penyakit gatal ini sangat dahsyat. Apabila digaru dengan kuku, maka kuku baginda akan tanggal, tetapi masih juga bertambah gatal. Kemudian baginda terpaksa menggarunya dengan barang yang kesat. Tidak cukup dengan itu, baginda menggaru badannya dengan pecahan periuk dan akhirnya dengan batu. Namun masih juga merasa gatal. Sehingga dengan tidak disedarinya dagingnya telah luka dan koyak. Maka keluar dari tubuh baginda yang luka itu, nanah yang baunya sangat busuk. Orang ramai yang tinggal di sekitarnya tidak tahan dengan bau busuk itu, lalu mereka keluarkan Nabi Ayyub dari negeri tempat tinggalnya ke tempat terpencil. Semua orang memencilkannya kecuali isterinya yang merawatnya.

Nabi Ayyub tidak pernah mengeluh dengan apa yang menimpanya, bahkan dia bersifat sabar dan tahan menderita. Apa yang dilakukannya hanyalah bermohon kepada Allah agar mengasihaninya. Cubalah kita perhatikan permohonan Nabi Ayyub yang disebutkan di dalam Al-Quran : Tafsirnya : “Dan Nabi Ayyub, ketika dia berdoa merayu Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku disentuh (ditimpa) penyakit, sedang Engkaulah saja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”. (Surah Al-Anbiya¡¦: 83)

Jika kita perhatikan kalimat-kalimat yang disebut oleh Nabi Ayyub Alaihissalam dalam ayat ini, alangkah halusnya budi bahasa baginda dalam rayuannya kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Baginda menyebut “aku disentuh” dan tidak menyebut perkataan “aku ditimpa”. Di sini menggambarkan bahawa celaka itu sendiri yang datang menyentuh dirinya. Nabi Ayyub tidak menyebut juga “atas kehendakMu”, kerana kesopanannya yang sangat tinggi terhadap Allah Subhanahu Wa Taala. Selepas itu, rayuan baginda disudahi dengan kata-kata yang halus juga iaitu: “Sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala yang mengasihani”.

Pada suku kata pertama, Nabi Ayyub mengadukan perasaannya yang dapat menimbulkan rasa kasihan dan pada suku kata kedua disebutkannya sifat Allah yang lebih pengasih daripada sesiapa jua pun yang pengasih. Hanya inilah permohonan Nabi Ayyub kepada Allah. Dia tidak merungut dan mengeluh, apatah lagi menyesali apa yang telah berlaku. Dia cuma memohon belas kasihan daripada Allah Subhanahu Wa Taala.

Inilah satu kisah yang patut kita ambil iktibar, pengajaran dan contoh tauladan daripadanya. Walaupun Nabi Ayyub telah ditimpa penyakit, harta bendanya punah-ranah, anak-anaknya ditimpa malang dan mati semuanya, tetapi berkat sabarnya dan imannya, Allah Subhanahu Wa Taala telah mengabulkan doa dan rayuannya, lalu dia pun sembuh seperti sediakala dan berkembanglah keturunannya serta dikurniakan harta benda yang melimpah ruah.

Mencaci-maki Demam.Selaku seorang muslim yang beriman, sepatutnya memiliki sifat sabar dan tidak mengeluh apabila ditimpa demam. Orang yang tidak mempunyai sifat sabar semasa ditimpa demam, mungkin tidak akan dapat mengawal dirinya dari mencaci maki penyakit ini, sedangkan kita dilarang berbuat demikian oleh Nabi Sallallahu alaihi wasallam. Ini bersandarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu anhu yang maksudnya : “Bahawasanya Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam telah berkunjung ke rumah Ummu Saib atau Ummu Musayyib, lalu Baginda bersabda: “Apa halnya engkau wahai Ummu Saib atau Ummu Musayyib menggigil? Dia menjawab: “Demam, semoga Allah tidak memberikan berkat kepadanya”. Nabi Sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Jangan engkau memaki penyakit demam, kerana dia menghilangkan kesalahan Bani Adam (manusia) sebagaimana landasan (tukang besi) menghilangkan kotoran (karat) besi”. (Hadith Riwayat Muslim)

Begitulah, segala apa jua yang datang daripada Allah, sama ada berupa rahmat, hendaklah kita syukuri, atau berupa musibah, maka hendaklah kita sabar menempuhinya.

Demam Penebus Dosa.Sebenarnya larangan mencaci maki demam itu mempunyai rahsia atau hikmat tertentu yang wajar kita ketahui dan ingati.

Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Jabir Radhiallahu anhu yang disebutkan sebelum ini, mempunyai maksud yang sama. Jelasnya, kedua-dua hadith ini menerangkan bahawa demam yang menimpa seseorang itu boleh menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu.

Jadi, ditimpa demam itu adalah sesuatu yang menguntungkan, kerana ia menghapuskan dosa, natijah yang lain, ia akan memantapkan keimanan.

Jumaat, Mac 25, 2011

KOD PADA BARANGAN PLASTIK





   
 Kerana sayang membuang botol atau bekas plastik yang telah digunakan, yang mana keadaannya masih baik, orang ramai terdedah kepada risiko bahaya bahan plastik tersebut. Ramai yang menggunakan botol atau bekas plastik yang sama berulang-ulang kali. Ramai yang masih kurang mengetahui kandungan bahan botol plastik, seperti botol air mineral atau bekas plastik yang lain termasuk bekas makanan, penutup bekas makanan serta botol susu bayi dan anak-anak kecil. 

Sebelum menggunakan semula botol/bekas plastik, orang ramai hendaklah mengetahui bahan asas sesuatu bekas plastik tersebut. Caranya adalah dengan melihat simbol atau kod yang biasanya tertera di bawah produk plastik berkenaan. Kod dan simbol ini sangat penting untuk diketahui kerana ia berkaitan dengan jenis bahan serta cara pemakaiannya. Kod-kod yang menandakan bahan pembuatan plastik tersebut dikeluarkan oleh The Society of Plastic Industry pada tahun 1998 di Amerika Syarikat dan digunakan oleh badan-badan lain seperti ISO (International Standard Organization). Secara umumnya, sistem pengkodan plastik tersebut terletak di bahagian bawah botol atau bekas plastik yang berbentuk segi tiga di mana di dalamnya terkandung angka yang menunjukkan sistem kod plastik bagi botol atau bekas tersebut serta nama jenis plastik di bawah logo segi tiga tersebut. 

Tahukah anda kod pada barangan plastik? Di sini antara beberapa info yang hendak dikongsikan bersama :

1. PETE atau PET (polyethylene terephthalate) biasa digunakan untuk botol plastik yang jernih/transparent/lut sinar seperti botol air mineral, botol jus, dan hampir semua botol minuman lainnya. Botol-botol dengan kod 1 dan kod 2 disyorkan hanya untuk sekali guna sahaja. Di bawah botol, angka 1 di paparkan di tengah-tengahnya segi tiga serta tulisan PETE atau PET (polyethylene terephthalate) di bawahnya. Plastik jenis ini jangan digunakan untuk mengisi air panas kerana ia akan mengakibatkan lapisan polimer pada botol tersebut meleleh dan mengeluarkan bahan karsinogenik yang menyebabkan kanser dalam jangka masa panjang. Buang botol yang sudah lama atau terlihat calar-calar walaupun belum dibuka. Oleh itu, botol plastik air mineral sebaik-baiknya jangan digunakan berulang-ulang kerana botol kod 1 cuma layak digunakan 1x sahaja.

2. HDPE (high density polyethylene) biasa digunakan untuk botol yang berwarna putih susu, tupperware, bekas galon air minum, kerusi lipat, dan lain-lain. Di bawah botol tertera angka 2 di tengahnya, serta tulisan HDPE (high density polyethylene) di bawah segitiga. HDPE merupakan salah satu bahan plastik yang selamat digunakan kerana kemampuannya mencegah tindak balas kimia antara bekas plastik berbahan HDPE dengan makanan/minuman yang terkandung di dalamnya. HDPE memiliki sifat bahan yang lebih kuat, keras dan lebih tahan terhadap suhu tinggi. Walau bagaimanapun, seperti PET, HDPE juga disyorkan HANYA UNTUK SEKALI GUNA kerana pelepasan reaksi antimoni trioksida terus meningkat mengikut masa.
 
3. V atau PVC (polyvinyl chloride) adalah jenis plastik yang dibuat plastik pembungkus (cling wrap) dan botol-botol minuman lain. Di bawah botol ini terpapar segi tiga (terkadang berwarna merah) dengan angka 3 di tengahnya, serta tulisan V di bawah segi tiga tersebut. V itu berarti PVC (polyvinyl chloride).
PVC ini berbahaya untuk kesihatan kerana PVC yang mudah bocor ini mengandung DEHA yang dapat bertindak balas dengan makanan yang bersentuhan langsung dengannya, terutamanya makanan berminyak yang masih panas, kerana DEHA mudah larut pada 15 darjah Celsius. Tindak balas antara PVC dengan makanan berpotensi berbahaya untuk ginjal, hati dan penurunan berat badan. Jika boleh, hindari penggunaan plastik jenis ini sebaliknya gunakan alternatif pembungkus makanan lain seperti plastik yang diperbuat daripada polietilena atau bahan semula jadi lain, misalnya daun pisang, dll. 

 4. LDPE (low density polyethylene) biasa digunakan sebagai tempat makanan dan botol-botol yang lembik. DPE (low density polyethylene) iaitu plastik coklat (thermoplastic/dibuat daripada minyak bumi). Di bawah barangan plastik in tertera kod 4 di tengah-tengahnya dan tulisan LDPE di bawah segi tiga logo tersebut. Sifat plastik LDPE adalah kuat, agak tembus cahaya, fleksibel dan permukaannya agak berlemak. Pada suhu di bawah 60 darjah Celsius, ia sangat tahan terhadap tindak balas kimia, daya tahannya terhadap wap air adalah baik, tetapi kurang baik bagi gas-gas yang lain seperti oksigen. Plastik jenis ini sukar dihancurkan tapi dapat dikitar semula dan baik untuk digunakan sebagai bekas makanan kerana ia sukar bertindak balas secara kimia dengan makanan di dalamnya. 
 
5. PP (polypropylene) adalah pilihan terbaik untuk bahan plastik terutama yang berhubung dengan makanan dan minuman, seperti tempat menyimpan makanan, botol minuman dan yang terpenting botol susu untuk bayi. Bahan plastik ini biasanya terdiri daripada botol transparent/tembus cahaya yang tidak jernih atau legap. Bila membeli barang berbahan plastik cari bekas plastik yang berkod 5 di tengah-tengahnya serta tulisan PP di bawah segi tiga logo kerana ia dianggap plastik yang selamat digunakan.

 
6. PS (polystyrene) biasa digunakan sebagai bahan bagi bekas makanan styrofoam, tempat minum sekali pakai, dll. Di bawah bekas plastik tertera kod 6 di tengah-tengah dan tulisan PS di bawah segi tiga logo. PS (polystyrene) ditemui pada tahun 1839 oleh Eduard Simon, seorang Jerman, secara tidak sengaja. Polystyrene merupakan polimer aromatik yang dapat mengeluarkan bahan styrene ke dalam makanan ketika makanan tersebut bersentuhan. Selain bekas makanan, styrene juga terdapat pada asap rokok, asap kenderaan dan bahan binaan bangunan. Bahan Polystyrene boleh membocorkan bahan styrene ke dalam makanan ketika makanan tersebut bersentuhan. Bahan styrene ini perlu dihindari kerana ia berbahaya untuk kesihatan otak dan sistem saraf, mengganggu hormon estrogen pada wanita yang mengakibatkan masalah kesuburan dan pertumbuhan, serta bahan ini sukar dikitar semula secara jadi. Kalau boleh pun, ia memerlukan masa yang panjang dan lama untuk proses kitar semula. Kalau dibakar, bahan ini akan mengeluarkan api berwarna kuning jingga, dan meninggalkan jelaga. Banyak negara maju sudah melarang penggunaan bekas makanan diperbuat daripada styrofoam yang berbahaya ini.

Sumber kod barangan plastik leh klik di SINI.
 

Isnin, Mac 21, 2011

KISAH PERANGKAP TIKUS




   

Sepasang suami dan isteri petani pulang dari pasar. Ketika mereka membuka barangan yang dibeli, seekor tikus memperhatikan gelagat mereka  sambil berkata di dalam hati, "hmmm… makanan apa lagi yang dibawa mereka dari pasar agaknya?"

Ternyata, yang dibeli oleh petani hari itu adalah perangkap tikus. Sang tikus naik panik bukan kepalang. Ia bergegas lari ke sarang dan bertempik, "Awas, ada perangkap tikus di dalam rumah, hati-hati, ada perangkap tikus di dalam rumah!"

Ia pun mengadu kepada ayam dan berteriak, "Habislaa...Sekarang ni tuan rumah telah memasang perangkap tikus!" Sang Ayam berkata, "Wahai Tikus, Aku turut bersedih tapi ia tak ada kena-mengena dengan aku."

Sang Tikus lalu pergi menemui seekor kambing sambil berteriak seperti tadi. Sang Kambing pun jawab selamba, "Aku pun turut bersimpati, tapi tidak ada yang boleh aku buat. Lagi pun tak tak ada kena-mengena dengan aku."

Tikus lalu menemui lembu. Ia mendapat jawapan sama. "Maafkan aku. Tapi perangkap tikus tidak berbahaya buat aku sama sekali. Takkanlah sebesar aku ni boleh masuk perangkap tikus?"

Dengan rasa kecewa ia pun berlari ke hutan menemui ular. Sang ular berkata, "Eleh engkau ni. Perangkap tikus yang sekecil itu takkanlah nak membahayakan aku." Akhirnya Tikus kembali ke rumah dengan pasrah kerana mengetahui ia akan menghadapi bahaya seorang diri. Suatu malam, pemilik rumah terbangun mendengar suara berdetak perangkap tikusnya berbunyi menandakan umpan dah mengena. Ketika melihat perangkap tikusnya, ternyata seekor ular berbisa yang jadi mangsa. Buntut ular yang terperangkap membuatkan ular itu semakin ganas dan menyerang isteri pemilik rumah itu.

Malang sungguh, ular yang berbisa itu telah mematuk si Isteri sebelum si Suami sempat membunuh ular berbisa tersebut. Si suami pun membawa isterinya ke hospital yang  berhampiran. Beberapa hari kemudian isterinya sudah boleh pulang namun tetap sahaja demam.

Isterinya telah meminta dibuatkan sup kaki ayam pada suaminya kerana percaya sup kaki ayam boleh mengurangkan demam. Lalu si Suami pun dengan segera menyembelih ayamnya untuk dapatkan kaki dan dibuat sup.

Beberapa hari kemudian sakitnya tidak juga sembuh malag bertambah tenat.  Maka seorang teman menyarankan untuk makan hati kambing. Ia lalu menyembelih kambingnya untuk mengambil hatinya. Masih juga isterinya tidak sembuh-sembuh dan akhirnya meninggal dunia.

Banyak sungguh orang datang melawat jenazahnya. Kerana rasa sayang suami pada isterinya, tak sampai hati pula dia melihat orang ramai tak dijamu apa-apa. Tanpa berfikir panjang dia pun menyembelih lembunya untuk memberi makan orang-orang yang berziarah. Dari kejauhan, Sang Tikus menatap dengan penuh kesedihan. Beberapa hari kemudian ia melihat perangkap tikus tersebut sudah tidak digunakan lagi.

Begitulah kisahnya. Jadi pengajarannya, jika suatu hari, anda mendengar seseorang dalam kesusahan dan anda pula mengira itu bukan urusan anda, fikir-fikirkanlah. 

Sabtu, Mac 19, 2011

AMALAN TERBAIK ATAU TERBALIK ??





   
Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi.. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun.. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita.

Jumaat, Mac 18, 2011

KOLEKSI PETUA ORANG MELAYU PART 7





   

Petua-petua di bawah ini adalah petua turun temurun yang diceritakan oleh rakan-rakan. Mungkin ada yang dah pernah mengamalkannya. Apa salahnya kita berkongsi. Kalau tak yakin, jangan ikut. Petua-petua ini tidak mendapat pengiktirafan dari badan-badan kecantikan dunia. Hanya mendapat ‘pengiktirafan’ dari nenek moyang sahaja. Amalkan di bawah risiko anda sendiri.  

 Kurangkan peluh di wajah
Basuh wajah hingga bersih kemudian lap hingga kering. Seterusnya ambil ketulan ais dan lumurkan ke wajah anda hingga beberapa minit. Tunggu sehingga kering dan kenakan solekan pada wajah seperti biasa. Peluh di wajah akan berkurangan dan wajah anda kelihatan bersih berseri-seri.

 Buah pinang atasi kegemukan
Masalah gemuk dan badan berlemak memang merunsingkan. Ada cara untuk mengatasinya. Buah pinang muda yang lembut dibelah dua lalu dicuci sebersih-bersihnya. Masak air dalam belanga. Rebus pinang muda hingga mendidih. Biarkan air rebusan pinang muda sejuk sebelum meminum airnya. Kesannya anda rasa lebih mudah membuang air besar dan semua lemak di dalam perut akan keluar melaluinya.
 
 Melembabkan wajah
Sepotong tembikai yang masak dan sejuk diperah untuk mendapatkan jusnya. Tapis dan simpan jus tembikai di dalam bekas. Pupuk perlahan-lahan hampas tembikai ke seluruh wajah dan leher. Biarkan sehingga kering lalu percikkan sedikit air sejuk. Petua ini dipercayai dapa melambatkan proses penuaan dan menjadikan kulit awet muda.

 Nenas putihkan kulit
Ambil bahagian dalam nenas yang keras (palu) lalu digosokkan pada kulit badan. Bilas tubuh sebersih-bersihnya. Amalkan setiap pagi dan petang. Insya-Allah, kulit akan menjadi putih dan berseri.
 
 Rambut selembut sutera
Untuk memperolehi rambut selembut sutera serta mudah disisir, amalkan cara ini. Sekiranya anda bercadang membasuh rambut pada keesokan hari, lurutkan rambut dengan minyak bijan sebelum tidur. Keesokan harinya syampu rambut dan bilas sehingga bersih. Lap rambut anda sehingga kering lalu dirapikan dengan menggunakan minyak bayi atau minyak zaitun. Jika anda berambut lurus, anda boleh menyikat terus rambut anda sebaliknya bagi anda yang berambut kerinting biarkan seketika barulah disikat agar rambut tidak terputus dan bercabang.

Hilangkan bulu ketiak
Tumbuk lumat 15 biji jintan putih bersama lima butir kapur barus. Campurkan sedikit minyak tanah lalu disapukan pada bahagian ketiak. Lakukan beberapa kali. Insya-Allah, bulu ketiak akan hilang selepas mengulanginya beberapa kali.
 Kulit cantik dan putih
Inginkan kulit cantik dan putih? Anda boleh lakukan sendiri di rumah tanpa perlu ke salun kecantikan. Caranya sangat mudah iaitu dengan hanya mengisarkan 1 cawan kelopak bunga mawar, 1 cawan kelopak bunga melur, 1/2 cawan oatmeal, 1 cawan susu putih, dan 1/2 cawan badam sehingga halus. Campurkan bahan yang telah dikisar ke dalam air mandian dan mandi seperti biasa. Seterusnya bersihkan tubuh anda dengan menggunakan air suam.

Isnin, Mac 14, 2011

DERMA DARAH MENYIHATKAN TUBUH





   
KEMPEN derma darah kini menjadi perkara lumrah yang dijalankan hampir setiap hari sama ada di hospital, dewan orang ramai mahupun pusat beli-belah. Namun, masih ramai memandang kempen ini sebelah mata, walaupun mengetahui seunit darah yang diderma dapat menyelamatkan satu nyawa. Bagi kita yang sihat, keperluan menderma darah mungkin tidak meresap ke dalam jiwa. Sesekali luangkan masa melawat wad kanak-kanak, khususnya yang menempatkan pesakit kecil penghidap talasemia dan leukemia. 

Mungkin selepas lawatan singkat ini, anda akan faham perasaan ibu bapa pesakit apabila hospital tidak dapat membekalkan darah sesuai untuk anak mereka. Menderma darah adalah perbuatan mulia dan menjadi sedekah yang tidak ternilai harganya. Sebenarnya sel darah merah dalam badan kita hanya bertahan antara 115 hingga 120 hari. Selepas tempoh ini, ia musnah dan digantikan dengan sel baru. 

Jika didermakan, darah ini disimpan dalam peti dingin beku selama 42 hari. Jangan bimbang, darah yang didermakan itu pasti dimanfaatkan sebaik-baiknya kerana sebelum tempoh ini berakhir, ia akan diberi kepada golongan memerlukan. Kita tidak akan mengalami masalah kekurangan darah kerana secara semula jadi badan menghasilkan sel darah baru bagi menggantikan sel darah yang musnah akibat ‘tua’ (selepas 120 hari). Didermakan atau tidak, darah berkenaan tetap akan musnah dalam badan kita, jadi lebih baik jika ia dapat digunakan sebaik-baiknya.
Malah, pendermaan darah juga sebenarnya merangsang badan untuk menghasilkan lebih banyak sel darah baru yang mempunyai keupayaan lebih baik untuk membawa oksigen ke seluruh badan, membuatkan kita berasa lebih segar dan sihat. Pada masa sama, kecekapan badan untuk menggunakan zat besi akan meningkat kerana ia diperlukan bagi menghasilkan sel darah merah yang baru. 

Secara tidak langsung, ia dapat membantu badan mengelak mengalami masalah pengumpulan zat besi berlebihan yang boleh merosakkan jantung, hati dan kelenjar endokrin. Kesannya, penderma akan berasa lebih sihat dan segar. Rata-rata penderma mengakui mereka lebih tenang kerana mengetahui darah mereka dapat menyelamatkan nyawa orang lain, tanpa mengira batasan umur, kaum dan agama. 

Namun lebih penting, ia membolehkan seseorang mengetahui status kesihatan mereka kerana ujian akan dilakukan setiap kali darah didermakan (walaupun anda penderma tetap) bagi memastikan darah benar-benar selamat dan ‘bersih’. Antara ujian yang dilakukan ialah ukuran tekanan dan pengenalan jenis darah, selain mengesan sama ada penderma mengalami masalah kesihatan lain. Jika ada, usah risau kerana ia dapat dikesan awal bagi membolehkan kita menerima rawatan sewajarnya. 

Berapa banyak darah yang akan diambil? Tidak banyak, hanya satu unit iaitu antara 300 hingga 450 mililiter saja, bergantung kepada berat badan anda. Selepas menderma, anda akan diberikan pil zat besi dan asid filik bagi merangsang badan menghasilkan sel darah baru.

PENERIMA DARAH

Mungkin ada yang bertanya siapa akan menerima darah anda ini? Ramai. Antaranya ialah:

1.  Wanita yang tumpah darah ketika bersalin. 
2.  Pesakit talasemia.
3.  Pesakit leukemia. 
4.  Pesakit haemofilia.
5.  Individu yang mengalami masalah anemia.
6.  Mangsa kebakaran.
7.  Mangsa kemalangan yang banyak kehilangan darah.
8.  Bayi yang perlu menjalani pertukaran darah.
9.  Mangsa demam denggi.


Sebenarnya, darah kita membabitkan beberapa komponen dan darah yang didermakan ini akan diasingkan mengikut komponen berkenaan iaitu darah merah, plasma, platelet, plasma beku segar, cryoprecipitate, cryosupernatant, faktor VIII dan IX. 

Semua komponen ini mempunyai kegunaan masing-masing yang diperlukan individu berlainan.

Sel darah merah contohnya, digunakan untuk merawat pesakit talasemia, leukemia, orang yang kehilangan darah dan kekurangan darah (anemia). 

Manakala plasma pula penting untuk merawat mangsa kebakaran dan kebanyakan kes kehilangan darah seperti ketika menjalani pembedahan. Walaupun ada teknologi moden yang boleh menghasilkan bahan yang menggantikan beberapa komponen darah, sumber darah asli masih diperlukan kebanyakan pesakit. 

Bagaimana pula dengan komponen lain? Pusat Darah Negara menghantar plasma beku ke Makmal Serum Commonwealth di Melbourne, Australia. Plasma ini akan menjalani proses pemecahan bagi menghasilkan faktor VIII, immunoglobulin dan albumin 20 peratus yang digunakan bagi merawat pesakit haemofilia, iaitu masalah darah lambat beku. 

Jadi, tiada setitis pun darah anda akan terbuang sia-sia. Jadi, ambil peluang untuk menderma darah bagi menyelamatkan nyawa orang lain kerana giliran kita memerlukan darah mungkin tiba satu hari nanti. 

Bagaimanapun, bukan semua orang layak menderma darah kerana anda perlu memiliki ciri seperti senarai di bawah iaitu:


-  Berumur 18 hingga 65 tahun.
-  Berat badan melebihi 45 kilogram. 
-  Tahap hemoglobin sekurang-kurangnya 12.5 peratus. 
Tidak menghidap penyakit kronik. 
-  Tidak minum alkohol 24 jam sebelum menderma. 
-  Tidak mengambil ubat antibiotik, kecuali dengan kebenaran doktor. 
-  Tidur melebihi lima jam pada malam sebelum hari menderma.

Anda dilarang menderma darah buat sementara waktu jika: 
-  Demam.
-  Berat badan kurang 45 kilogram. 
-  Makan antibiotik yang tidak membenarkan mereka menderma darah. 
-  Tidur kurang lima jam.
-  Minum minuman beralkohol kurang daripada 24 jam.
-  Menjalani pembedahan dalam tempoh enam bulan.
-  Mendapatkan rawatan gigi dalam tempoh 24 jam sebelum menderma.
-  Mendapat suntikan vaksinasi tiga minggu sebelum hari menderma.
-  Menindik telinga, menjalani akupuntur atau tatu dalam masa setahun.

Paling penting, jangan menderma darah jika anda:
- Menghidap penyakit kelamin, Aids, tekanan darah tinggi, sakit jantung, diabetes, talasemia, haemofilia dan hepatitis B atau C, sawan, asma dan batuk kering.
-  Pernah atau masih mengadakan hubungan seks rambang dengan ramai pasangan.
-  Pernah melanggani pekerja seks (pelacur).
-  Pernah atau masih mengamalkan hubungan sejenis (homoseks) atau dengan kedua-dua jantina (biseksual).
-  Mengambil dadah secara suntikan. atau tatu dalam masa setahun.