APAKAH reaksi anda jika pemandu di depan
mengambil masa lama untuk menggerakkan kenderaan apabila lampu isyarat bertukar
ke hijau? Apa pula perasaan anda apabila selepas
lama beratur, tiba-tiba seseorang memintas barisan dan berdiri betul-betul di
depan anda? Adakah anda menjadi marah atau boleh mengawal perasaan?
Kemarahan ialah satu ekspresi perasaan yang ekstrem mengenai sesuatu yang anda tidak
suka. Mempunyai perasaan marah bukan perkara buruk kerana ia
menunjukkan kita manusia normal.Malah, ada pakar berpendapat kemarahan
pada peringkat rendah atau sederhana tidak menjadi masalah kerana dalam keadaan
tertentu ia boleh memberi kesan positif kepada kita. Contohnya apabila kita dapat memberitahu
seseorang bahawa kita marah kepadanya secara tidak langsung boleh menenangkan
fikiran kita.
Bagaimanapun, perasaan sangat marah boleh
memberi kesan negatif terhadap kesihatan seseorang. Baik pada lelaki atau
wanita, kemarahan boleh meninggalkan kesan yang jauh lebih mendalam berbanding
kesan terhadap hubungan sesama insan. Kemarahan sebenarnya boleh membawa kepada
penyakit kardiovaskular, iaitu pembunuh nombor satu di Malaysia dan seluruh
dunia. Kemarahan ada kaitan rapat dengan penyakit
jantung koronari.
Menurut satu kajian yang diterbitkan baru-baru ini di dalam Jurnal Kolej Kardiologi Amerika, kemarahan meningkatkan kebarangkalian mendapat sindrom koronari akut seperti serangan jantung sebanyak 19 peratus jika seseorang itu tidak pernah ada penyakit jantung, dan sebanyak 24 peratus jika pernah mengalami penyakit jantung.
Menurut satu kajian yang diterbitkan baru-baru ini di dalam Jurnal Kolej Kardiologi Amerika, kemarahan meningkatkan kebarangkalian mendapat sindrom koronari akut seperti serangan jantung sebanyak 19 peratus jika seseorang itu tidak pernah ada penyakit jantung, dan sebanyak 24 peratus jika pernah mengalami penyakit jantung.
Kemarahan itu sendiri bukan faktor tunggal kepada risiko sakit
jantung. Ada pakar berpendapat, perasaan negatif yang lahir akibat kemarahan itu
juga memberi sumbangan yang menyebabkan seseorang berasa resah dan
tertekan. Dua perasaan ini biasanya datang bersama kemarahan yang mungkin
berlanjutan kepada emosi negatif lain.
Bagaimanakah kemarahan boleh menyebabkan penyakit
jantung koronari?
Saintis mengatakan, kemarahan mungkin ada kesan langsung ke atas
jantung dan salur darah (arteri). Emosi negatif seperti marah cepat meningkatkan
tindak balas badan apabila menerima tekanan. Jika rangsangan sentiasa diberi,
kesan ke atas jantung dan salur darah berlarutan. Apabila dalam keadaan tertekan, badan menghasilkan hormon
tekanan. Dalam keadaan biasa, hormon ini diperlukan untuk menolong kita dalam
jangka masa pendek jika menghadapi krisis. Bagaimanapun, jika kita kerap marah,
paras hormon tekanan ini meningkat.
Hormon tekanan yang berlebihan
mempercepatkan proses aterosklerosis iaitu pengumpulan plak lemak pada dinding
salur darah yang akhirnya membuatkan salur darah tersumbat; yang seterusnya
boleh mengakibatkan penyakit jantung koronari dan serangan jantung. Selain kesan biologi, kesan ke atas gaya
hidup juga penting. Mereka yang mudah marah mungkin tidak dapat menjaga diri
dengan baik.
Mereka lebih berkemungkinan untuk merokok,
mempunyai pemakanan tidak baik dan seimbang, jarang melakukan senaman dan
meminum alkohol berlebihan. Semua ini juga faktor yang boleh membuat
seseorang itu lebih berisiko mendapat penyakit jantung koronari.
Cara mengatasi
kemarahan
Ada banyak cara mudah untuk mengatasi
kemarahan. Antaranya ialah dengan:
1) Menarik nafas panjang dan kira dari
satu hingga 10
2) Membayangkan tempat aman untuk
menenangkan minda
3) Beredar dari situasi atau persekitaran
yang membuatkan anda marah (secara fizikal dan emosi)
4) Mendengar ayat-ayat Quran
5) Mengisi masa dengan hobi
6) Jangan meletakkan harapan dalam setiap
situasi
7) Meditasi
8) Meningkatkan tahap spiritual melalui
sembahyang, doa dan zikir
عَنْ أَبيِ هُرَيْرَةَ - رضي الله عنه
- أَنَّ رَجُلاً قَالَ لِلنَّبِيِّ - صلى الله عليه وسلم - : أَوْصِنيِ . قَالَ : «
لاَ تَغْضَبْ » فَرَدَّدَ مِرَارًا , قَالَ : « لاَ تَغْضَبْ » رَوَاهُ
الْبُخَارِيُّ .
Maksudnya : Daripada Abi Hurairah
R.A, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata kepada Nabi sallallahu alaihi wa
sallam : Berilah pesanan padaku, lalu bersabda baginda,: " Janganlah kamu
marah", maka diulangnya berkali-kali "Janganlah kamu marah".
Riwayat
Albukhary.
Paling penting, anda harus menerima
hakikat bahawa kehidupan ini tidak selalunya adil atau sempurna, dan anda harus
mengambil tindakan wajar di dalam setiap keadaan. Ingat, setiap kali anda
melakukan tindakan positif, anda sebenarnya menjaga jantung anda.