Mai Lepak Sini Jadi Pengikut Setia

MENARIK DALAM BLOG NI

Isnin, Mac 14, 2011

DERMA DARAH MENYIHATKAN TUBUH





   
KEMPEN derma darah kini menjadi perkara lumrah yang dijalankan hampir setiap hari sama ada di hospital, dewan orang ramai mahupun pusat beli-belah. Namun, masih ramai memandang kempen ini sebelah mata, walaupun mengetahui seunit darah yang diderma dapat menyelamatkan satu nyawa. Bagi kita yang sihat, keperluan menderma darah mungkin tidak meresap ke dalam jiwa. Sesekali luangkan masa melawat wad kanak-kanak, khususnya yang menempatkan pesakit kecil penghidap talasemia dan leukemia. 

Mungkin selepas lawatan singkat ini, anda akan faham perasaan ibu bapa pesakit apabila hospital tidak dapat membekalkan darah sesuai untuk anak mereka. Menderma darah adalah perbuatan mulia dan menjadi sedekah yang tidak ternilai harganya. Sebenarnya sel darah merah dalam badan kita hanya bertahan antara 115 hingga 120 hari. Selepas tempoh ini, ia musnah dan digantikan dengan sel baru. 

Jika didermakan, darah ini disimpan dalam peti dingin beku selama 42 hari. Jangan bimbang, darah yang didermakan itu pasti dimanfaatkan sebaik-baiknya kerana sebelum tempoh ini berakhir, ia akan diberi kepada golongan memerlukan. Kita tidak akan mengalami masalah kekurangan darah kerana secara semula jadi badan menghasilkan sel darah baru bagi menggantikan sel darah yang musnah akibat ‘tua’ (selepas 120 hari). Didermakan atau tidak, darah berkenaan tetap akan musnah dalam badan kita, jadi lebih baik jika ia dapat digunakan sebaik-baiknya.
Malah, pendermaan darah juga sebenarnya merangsang badan untuk menghasilkan lebih banyak sel darah baru yang mempunyai keupayaan lebih baik untuk membawa oksigen ke seluruh badan, membuatkan kita berasa lebih segar dan sihat. Pada masa sama, kecekapan badan untuk menggunakan zat besi akan meningkat kerana ia diperlukan bagi menghasilkan sel darah merah yang baru. 

Secara tidak langsung, ia dapat membantu badan mengelak mengalami masalah pengumpulan zat besi berlebihan yang boleh merosakkan jantung, hati dan kelenjar endokrin. Kesannya, penderma akan berasa lebih sihat dan segar. Rata-rata penderma mengakui mereka lebih tenang kerana mengetahui darah mereka dapat menyelamatkan nyawa orang lain, tanpa mengira batasan umur, kaum dan agama. 

Namun lebih penting, ia membolehkan seseorang mengetahui status kesihatan mereka kerana ujian akan dilakukan setiap kali darah didermakan (walaupun anda penderma tetap) bagi memastikan darah benar-benar selamat dan ‘bersih’. Antara ujian yang dilakukan ialah ukuran tekanan dan pengenalan jenis darah, selain mengesan sama ada penderma mengalami masalah kesihatan lain. Jika ada, usah risau kerana ia dapat dikesan awal bagi membolehkan kita menerima rawatan sewajarnya. 

Berapa banyak darah yang akan diambil? Tidak banyak, hanya satu unit iaitu antara 300 hingga 450 mililiter saja, bergantung kepada berat badan anda. Selepas menderma, anda akan diberikan pil zat besi dan asid filik bagi merangsang badan menghasilkan sel darah baru.

PENERIMA DARAH

Mungkin ada yang bertanya siapa akan menerima darah anda ini? Ramai. Antaranya ialah:

1.  Wanita yang tumpah darah ketika bersalin. 
2.  Pesakit talasemia.
3.  Pesakit leukemia. 
4.  Pesakit haemofilia.
5.  Individu yang mengalami masalah anemia.
6.  Mangsa kebakaran.
7.  Mangsa kemalangan yang banyak kehilangan darah.
8.  Bayi yang perlu menjalani pertukaran darah.
9.  Mangsa demam denggi.


Sebenarnya, darah kita membabitkan beberapa komponen dan darah yang didermakan ini akan diasingkan mengikut komponen berkenaan iaitu darah merah, plasma, platelet, plasma beku segar, cryoprecipitate, cryosupernatant, faktor VIII dan IX. 

Semua komponen ini mempunyai kegunaan masing-masing yang diperlukan individu berlainan.

Sel darah merah contohnya, digunakan untuk merawat pesakit talasemia, leukemia, orang yang kehilangan darah dan kekurangan darah (anemia). 

Manakala plasma pula penting untuk merawat mangsa kebakaran dan kebanyakan kes kehilangan darah seperti ketika menjalani pembedahan. Walaupun ada teknologi moden yang boleh menghasilkan bahan yang menggantikan beberapa komponen darah, sumber darah asli masih diperlukan kebanyakan pesakit. 

Bagaimana pula dengan komponen lain? Pusat Darah Negara menghantar plasma beku ke Makmal Serum Commonwealth di Melbourne, Australia. Plasma ini akan menjalani proses pemecahan bagi menghasilkan faktor VIII, immunoglobulin dan albumin 20 peratus yang digunakan bagi merawat pesakit haemofilia, iaitu masalah darah lambat beku. 

Jadi, tiada setitis pun darah anda akan terbuang sia-sia. Jadi, ambil peluang untuk menderma darah bagi menyelamatkan nyawa orang lain kerana giliran kita memerlukan darah mungkin tiba satu hari nanti. 

Bagaimanapun, bukan semua orang layak menderma darah kerana anda perlu memiliki ciri seperti senarai di bawah iaitu:


-  Berumur 18 hingga 65 tahun.
-  Berat badan melebihi 45 kilogram. 
-  Tahap hemoglobin sekurang-kurangnya 12.5 peratus. 
Tidak menghidap penyakit kronik. 
-  Tidak minum alkohol 24 jam sebelum menderma. 
-  Tidak mengambil ubat antibiotik, kecuali dengan kebenaran doktor. 
-  Tidur melebihi lima jam pada malam sebelum hari menderma.

Anda dilarang menderma darah buat sementara waktu jika: 
-  Demam.
-  Berat badan kurang 45 kilogram. 
-  Makan antibiotik yang tidak membenarkan mereka menderma darah. 
-  Tidur kurang lima jam.
-  Minum minuman beralkohol kurang daripada 24 jam.
-  Menjalani pembedahan dalam tempoh enam bulan.
-  Mendapatkan rawatan gigi dalam tempoh 24 jam sebelum menderma.
-  Mendapat suntikan vaksinasi tiga minggu sebelum hari menderma.
-  Menindik telinga, menjalani akupuntur atau tatu dalam masa setahun.

Paling penting, jangan menderma darah jika anda:
- Menghidap penyakit kelamin, Aids, tekanan darah tinggi, sakit jantung, diabetes, talasemia, haemofilia dan hepatitis B atau C, sawan, asma dan batuk kering.
-  Pernah atau masih mengadakan hubungan seks rambang dengan ramai pasangan.
-  Pernah melanggani pekerja seks (pelacur).
-  Pernah atau masih mengamalkan hubungan sejenis (homoseks) atau dengan kedua-dua jantina (biseksual).
-  Mengambil dadah secara suntikan. atau tatu dalam masa setahun.

4 ulasan:

  1. yepp..setuju...pas derma rase badan lagi sihat...

    (penderma tegar)

    BalasPadam
  2. selalu jugak derma darah dulu...skrg jarang2 buat..apapun..derma darah memang bagus..

    BalasPadam
  3. @cik yuz bagus tul... amalam yang mulia ni..

    BalasPadam
  4. @abadi romeo same la,, saye pun dah lame tak menderma...

    BalasPadam