Mai Lepak Sini Jadi Pengikut Setia

MENARIK DALAM BLOG NI

Sabtu, Oktober 09, 2010

Panggilan Haji Telah Tiba Lagi

MUSIM haji tiba lagi dan jika mengikut jadual, penerbangan pertama membawa jemaah Malaysia ke Tanah Suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berlepas kira-kira jam 1.30 pagi tadi.
 
Bermula dengan keberangkatan pertama itu, kemeriahan musim haji 1431 Hijrah bukan saja dirasai jemaah yang bakal berkampung di tanah haram terletaknya Baitullah, perasaan teruja turut dirasai umat Islam baik yang sudah bergelar haji dan hajah atau masih menyimpan hasrat untuk ke sana.

Sejak disyariatkan haji pada tahun keenam hijrah (mengikut haul yang masyhur), Rasulullah SAW bersama kira-kira 1,500 umat Islam berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardu haji tetapi tidak dapat melaksanakannya kerana dihalang kaum Quraisy.

Apabila termeterai Perjanjian Hudaibiah, ia membuka jalan bagi perkembangan Islam serta peluang untuk menunaikan umrah dan haji. Pada tahun ketujuh Hijrah, Rasulullah mengerjakan umrah bersama 200 umat Islam dan hanya pada tahun kesembilan Hijrah, umat Islam dapat mengerjakan haji.

Setiap tahun, Kaabah yang tingginya 15 meter dan luas kira-kira 120 meter persegi, terletak di tengah-tengah Masjidil Haram dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail menjadi tempat berhimpun berjuta umat Islam menyahut seruan Allah mengunjungi rumah-Nya.

Imam Abul Hassan Mawardi meriwayatkan, pada zaman Rasulullah SAW hingga ketika Saidina Abu Bakar diangkat menjadi Khalifah, Masjidil Haram tidak mempunyai dinding. Perluasan Masjidil-Haram bermula pada 638 Masihi oleh Saidina Umar ibn Khattab.

Beliau membeli rumah di sekeliling Kaabah dan diruntuhkan semua bagi tujuan perluasan dan usaha itu diteruskan Saidina Usman ibn Affan pada 647 Masihi. Pada 696 Masihi, cucu Saidina Abu Bakar bernama Abdullah ibn Zubair memperluaskan kawasan masjid dengan membeli gedung di sebelah timur dan selatan masjid.

Sementara di bahagian utara dan barat diperluaskan oleh Zaid bin Abdullah al-Harisi di bawah perintah Khalifah Bani Abbas, Abu Ja'afar al-Mansur. Pada 986 masihi, Harun Ar-Rashid memasukkan gedung Dar An-Nadwah ke dalam masjid dan membina pintu Bab Ibrahim di sebelah barat.

Dari semasa ke semasa, pelbagai usaha dilakukan untuk mengindah serta memperbaiki keadaan di Masjidil Haram sebagai kemudahan kepada jemaah yang datang untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Reka bentuknya kekal dari zaman Umawi, Abbasiah hingga dilakukan perluasan oleh kerajaan Arab Saudi kerana melihat Masjidil Haram bakal menampung pertambahan jumlah jemaah yang kian meningkat setiap tahun.

Fasa pertama pembesaran Masjidil Haram pada era moden bermula pada 1955 atas arahan pengasas Arab Saudi, Raja Abdul Aziz. Pada 1988, Raja Fahd Abdulaziz Al-Saud mengarahkan pembesaran kawasan solat dari 152,000 kepada 356,000 meter persegi.

Projek pembesaran kali ketiga ini dilakukan di bawah kepemimpinan Raja Abdullah Abdul Aziz di bawah tanggungan penuh Kerajaan Arab Saudi membabitkan pertambahan masjid dan kompleks yang menempatkan kedai di barat Masjidil Haram.

Menariknya, projek pembesaran kali ini turut membabitkan Malaysia secara tidak langsung apabila Pensyarah Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ismawi Zen, dipilih sebagai ahli Panel Antarabangsa Pembesaran Masjidil Haram bersama lima yang lain dari Turki, Arab Saudi, Algeria dan dua dari Lubnan.

Menurut beliau, pelan pembangunan pembesaran Masjidil Haram direka bentuk dengan mengambil kira konsep mapan, pembangunan kerohanian, sejarah dan kapasiti selain mengambil kira kesesuaiannya supaya memenuhi keperluan pada waktu puncak dan musim umrah.

Laman web Kementerian Haji Kerajaan Arab Saudi memaklumkan, teknologi moden digunakan untuk kemudahan jemaah haji kerana keselamatan dan keselesaan jemaah memang menjadi keutamaan pihak berkuasa.

Antaranya, lantai dibuat khas daripada jubin tahan panas dan bagi memastikan jemaah lebih selesa, keseluruhan struktur yang ditambah disejukkan oleh unit penghawa dingin terbesar di dunia.

Pergerakan jemaah ke kawasan bumbung masjid juga dimudahkan dengan tambahan tangga elektrik bersebelahan sebagai tambahan kepada tangga sedia ada di bahagian utara dan selatan bangunan.

Bagi mengurangkan kesesakan trafik di sekeliling Masjidil Haram, projek pembangunan turut membina terowong baru untuk kenderaan di sekitar Alsouk Alsagir. Laluan pejalan kaki dan terowong dibina mengambil kira keselamatan jemaah.

Melihat perkembangan semasa di Makkah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, meminta jemaah haji Malaysia supaya mendengar taklimat diberi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi mengelak sebarang masalah atau kekeliruan ketika berada di Tanah Suci.

Katanya, tidak dinafikan pelan pembangunan dilaksanakan Kerajaan Arab Saudi di Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya demi keselesaan dan keselamatan umat Islam akan memberi pengalaman baru kepada jemaah haji musim ini.

“Jemaah yang kali pertama pergi pasti merasai suasana baru kerana pemandangan di Tanah Suci sudah banyak berbeza. Mungkin mereka ada mendengar cerita daripada orang yang sudah menunaikan haji tetapi apabila di sana, tengok tidak sama.

“Maklumlah, banyak bangunan yang sudah dirobohkan dan dipindahkan. Jemaah juga perlu bersedia kerana dulu rumah penginapan ada yang berhampiran dengan masjid tetapi selepas perluasan ruang solat di masjid, kawasan penginapan berada jauh sedikit,” katanya.

Beliau turut menasihatkan jemaah yang tiba awal di Makkah untuk memanfaatkan masa terluang sebaiknya termasuk mengambil peluang mengikuti kelas dianjurkan di setiap tempat penginapan dan bertanyakan soalan kepada tenaga pengajar yang dilantik.

Katanya, jemaah jangan sekali-kali mendapatkan pandangan daripada jemaah lain kerana takut akan menyebabkan berlaku kekeliruan terutama daripada aspek hukum hakam agama yang perlu diberi perhatian secara serius supaya tidak mencacatkan ibadah mereka nanti.

Jamil Khir berkata, jemaah negara ini juga diminta mempertahankan disiplin kerana jemaah Malaysia memang terkenal berdisiplin serta sering dijadikan contoh negara lain.

“Biasalah apabila tiga juga umat Islam berkumpul pada satu kawasan, bergerak serentak pada satu masa, akan ada pelbagai kelemahannya. Oleh itu, suka saya ingatkan jemaah, kata kunci paling besar ibadat haji ialah kesabaran.

“Banyak perkara akan uji kesabaran. Lif boleh muat 20 orang tetapi yang tunggu 30 orang. Makanan sudah tersedia tetapi kerusi tidak cukup. Jadi, saya harap jemaah kita bersedia dan banyak bersabar ketika di Tanah Suci,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Lembaga Tabung Haji, Abdul Rashid Hussein, berkata seramai 800 anggota pasukan petugas terdiri daripada kakitangan TH, pasukan perubatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah bersedia menanti ketibaan jemaah haji musim ini.

Katanya, menjadi tradisi TH melakukan persediaan musim haji akan datang sebaik musim haji tahun sebelumnya berakhir dan penilaian semula perjalanan pengurusan membantu TH membuat perancangan.

“Sebaik musim haji tahun lalu berakhir, kita sudah membuat persediaan. Hasil penilaian semula, perhatian diberi kepada keperluan logistik dan TH akan memastikan kemudahan disediakan lebih baik daripada sebelumnya. Rungutan kecil tetap dipandang berat oleh TH.

“Seperti tahun ini, TH cuba mendapatkan tempat penginapan baru kira-kira 950 meter dari kawasan masjid. Ini yang terbaik kerana masih hampir, ada jemaah lain yang tempat penginapan mereka tiga hingga empat kilometer dari masjid,” katanya.

Katanya, mengenai persediaan jemaah, TH sudah memaklumkan daripada segi persiapan dan perkara yang perlu dijangkakan ketika di Tanah Suci semasa mereka menjalani kurus insentif, bersiri dan kursus perdana sebelum ini.

~ Berita Harian ~










Comments
0 Comments

0 ulasan:

Catat Ulasan