Sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Omar Radhiallahu anhuma mengatakan  yang maksudnya : “Demam berasal dari kepanasan api neraka yang mendidih, maka padamkanlah ia  dengan air”. (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu anha dari Nabi  Sallallahu alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya : “Demam adalah dari panas api neraka yang mendidih, dari itu dinginkanlah ia  dengan air”. (Hadith riwayat Muslim)
Dalam kitab Umdah Al-Qari menyebutkan bahawa panas yang lahir dari  tubuh orang yang demam itu adalah secebis daripada kepanasan api neraka. Allah  telah menzahirkannya pada diri orang yang demam itu dengan sebab-sebab yang  tertentu agar dia mengambil iktibar daripadanya, sebagaimana Allah telah  menzahirkan berbagai jenis kegembiraan dan kenikmatan yang berasal dari  nikmat-nikmat syurga untuk menjadi pengajaran dan petunjuk baginya.
Sebahagian ulama berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan dengan kepanasan api  neraka di sini ialah satu perumpamaan antara panas orang yang demam dengan panas  api neraka sebagai peringatan kepada diri manusia betapa panasnya api neraka.  Namun pendapat ini disanggah oleh Ath-Thayyibi dengan mengatakan bahawa ia tidak  sesuai untuk dijadikan sebagai perumpamaan, bahkan demam itu memang lahir atau  berasal dari kepanasan api neraka sedari mula atau sebahagian dari hembusan api  neraka.
Adapun maksud “mendinginkannya dengan air” itu menurut Ibnu Al-Ambari ialah  bersedekah dengan air, kerana ada riwayat mengatakan bahawa sedekah yang paling  afdhal itu ialah memberi minum air.
Mengeluh Dan Mengadu Kerana Demam.Memang tidak dinafikan  bahawa ada setengah orang mengeluh kerana demam atau mengerang kerana kesakitan.  Apakah perbuatan ini diharuskan dalam agama?
Sebenarnya kita tidak dilarang untuk mengadu atau mengeluhkan kesakitan kita  kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Apa yang dilarang ialah kita mengeluh dan  mengadukannya kepada orang lain sesama manusia. Nabi Shallallahu alaihi wasallam  sendiri, para sahabat dan pengikut-pengikut mereka, pernah mengadukan kesakitan  mereka.
Diriwayatkan bahawa Al-Hasan Al-Bashri sewaktu sahabat-sahabatnya datang ke rumahnya, mereka menemuinya sedang mengadukan sakit giginya kepada Allah Subhanahu Wa Taala dengan berkata yang ertinya : Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada (yang lain) yang mengasihani.
Adapun yang dimaksudkan dengan larangan mengadukan kesakitan kepada sesama  manusia itu ialah mengadukannya dengan cara merasa jemu dan benci dengan  penyakit itu. Akan tetapi jika seseorang itu memberitahu atau menceritakan  penyakitnya kepada kawan-kawannya supaya mereka dapat mendoakannya sembuh, maka  dalam hal ini tidaklah menjadi satu kesalahan. Begitu juga jika seseorang itu  mengeluh kerana sakit, tetapi keluhannya itu boleh mendatangkan kerehatan  kepadanya atau boleh meredakan kesakitannya, maka tidaklah juga menjadi  apa-apa.
Al-Quran ada menceritakan tentang kesabaran Nabi Ayyub Alaihissalam dalam  menempuhi segala penderitaan. Di antara penderitaan yang Nabi Ayyub alami ialah  berpenyakit gatal. Penyakit gatal ini sangat dahsyat. Apabila digaru dengan  kuku, maka kuku baginda akan tanggal, tetapi masih juga bertambah gatal.  Kemudian baginda terpaksa menggarunya dengan barang yang kesat. Tidak cukup  dengan itu, baginda menggaru badannya dengan pecahan periuk dan akhirnya dengan  batu. Namun masih juga merasa gatal. Sehingga dengan tidak disedarinya dagingnya  telah luka dan koyak. Maka keluar dari tubuh baginda yang luka itu, nanah yang  baunya sangat busuk. Orang ramai yang tinggal di sekitarnya tidak tahan dengan  bau busuk itu, lalu mereka keluarkan Nabi Ayyub dari negeri tempat tinggalnya ke  tempat terpencil. Semua orang memencilkannya kecuali isterinya yang  merawatnya.
Nabi Ayyub tidak pernah mengeluh dengan apa yang menimpanya, bahkan dia  bersifat sabar dan tahan menderita. Apa yang dilakukannya hanyalah bermohon  kepada Allah agar mengasihaninya. Cubalah kita perhatikan permohonan Nabi Ayyub  yang disebutkan di dalam Al-Quran : Tafsirnya : “Dan Nabi Ayyub, ketika dia berdoa merayu Tuhannya dengan  berkata: Sesungguhnya aku disentuh (ditimpa) penyakit, sedang Engkaulah saja  yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”. (Surah  Al-Anbiya¡¦: 83)
Jika kita perhatikan kalimat-kalimat yang disebut oleh Nabi Ayyub  Alaihissalam dalam ayat ini, alangkah halusnya budi bahasa baginda dalam  rayuannya kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Baginda menyebut “aku disentuh” dan  tidak menyebut perkataan “aku ditimpa”. Di sini menggambarkan bahawa celaka itu  sendiri yang datang menyentuh dirinya. Nabi Ayyub tidak menyebut juga “atas  kehendakMu”, kerana kesopanannya yang sangat tinggi terhadap Allah Subhanahu Wa  Taala. Selepas itu, rayuan baginda disudahi dengan kata-kata yang halus juga  iaitu: “Sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala yang  mengasihani”.
Pada suku kata pertama, Nabi Ayyub mengadukan perasaannya yang dapat  menimbulkan rasa kasihan dan pada suku kata kedua disebutkannya sifat Allah yang  lebih pengasih daripada sesiapa jua pun yang pengasih. Hanya inilah permohonan  Nabi Ayyub kepada Allah. Dia tidak merungut dan mengeluh, apatah lagi menyesali  apa yang telah berlaku. Dia cuma memohon belas kasihan daripada Allah Subhanahu  Wa Taala.
Inilah satu kisah yang patut kita ambil iktibar, pengajaran dan contoh  tauladan daripadanya. Walaupun Nabi Ayyub telah ditimpa penyakit, harta bendanya  punah-ranah, anak-anaknya ditimpa malang dan mati semuanya, tetapi berkat  sabarnya dan imannya, Allah Subhanahu Wa Taala telah mengabulkan doa dan  rayuannya, lalu dia pun sembuh seperti sediakala dan berkembanglah keturunannya  serta dikurniakan harta benda yang melimpah ruah.
Mencaci-maki Demam.Selaku seorang muslim yang beriman,  sepatutnya memiliki sifat sabar dan tidak mengeluh apabila ditimpa demam. Orang  yang tidak mempunyai sifat sabar semasa ditimpa demam, mungkin tidak akan dapat  mengawal dirinya dari mencaci maki penyakit ini, sedangkan kita dilarang berbuat  demikian oleh Nabi Sallallahu alaihi wasallam. Ini bersandarkan kepada sebuah  hadith yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu anhu yang maksudnya : “Bahawasanya Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam telah berkunjung ke rumah  Ummu Saib atau Ummu Musayyib, lalu Baginda bersabda: “Apa halnya engkau wahai Ummu Saib atau Ummu Musayyib menggigil? Dia menjawab: “Demam, semoga Allah tidak memberikan berkat kepadanya”. Nabi Sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Jangan engkau memaki penyakit  demam, kerana dia menghilangkan kesalahan Bani Adam (manusia)  sebagaimana landasan (tukang besi) menghilangkan kotoran (karat)  besi”. (Hadith Riwayat Muslim)
Begitulah, segala apa jua yang datang daripada Allah, sama ada berupa rahmat,  hendaklah kita syukuri, atau berupa musibah, maka hendaklah kita sabar  menempuhinya.
Demam Penebus Dosa.Sebenarnya larangan mencaci maki  demam itu mempunyai rahsia atau hikmat tertentu yang wajar kita ketahui dan  ingati.
Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Jabir Radhiallahu  anhu yang disebutkan sebelum ini, mempunyai maksud yang sama. Jelasnya,  kedua-dua hadith ini menerangkan bahawa demam yang menimpa seseorang itu boleh  menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu.
Jadi, ditimpa demam itu adalah sesuatu yang menguntungkan, kerana ia  menghapuskan dosa, natijah yang lain, ia akan memantapkan keimanan.
mama like info ni..mama baru je baik dr demam..tq info ni ek..
BalasPadampernah dgr juga hadis yg ditulis di atas. Nice info!!
BalasPadam